Jika anda ke Langkawi, minyak gamat merupakan salah satu barang yang wajib dibeli. Bukannya apa, kegunaan minyak gamat ni banyak. Kalau anda lihat pada botol, ada tertulis beberapa khasiatnya seperti;
- Melegakan luka kecil
- Lenguh-lenguh sendi
- Gatal-gatal ringan
- Kembung perut
Kegunaan Minyak Gamat Hilangkan Jerawat
Anda cuma perlu sapu dan gosokkan minyak gamat tersebut pada bahagian yang sakit. Lakukan sebanyak 3 kali sehari. Mudah, bukan?
Tetapi apa yang lebih penting, saya nak kongsikan pengalaman peribadi mengenai keberkesanan minyak gamat yang anda patut tahu. Iaitu;
- Ia boleh surutkan jerawat seterusnya menghilangkan jerawat
- Ia boleh menghilangkan kesan kemerah-merahan di muka
- Ia boleh menghilangkan kesan parut kecil yang masih baru
Pertamanya, dulu muka saya agak kerap ditumbuhi jerawat kecil ataupun jerawat biasa. Walaupun sentiasa amalkan rutin penjagaan muka yang sepatutnya, keadaannya tetap sama.
Saya pun naik hairan. Pelik. Apa lagi yang tak kena nih? Tanya saya pada diri sendiri.
Fikir punya fikir, saya pun nekad untuk sapu minyak gamat ke seluruh muka. Saya amalkan dalam 3 malam berturut-turut sebelum tidur. Alhamdulillah, jerawat pun beransur surut dan berjaya dihilangkan. Yeay!
Keduanya, masa menjalani latihan praktikal di sebuah kilang elektronik, muka saya pernah mengalami kemerah-merahan. Beberapa bulan pertama, keadaan muka ni baik-baik saja.
Tapi bila dah nak masuk bulan ke-4, keadaan muka saya mula kemerah-merahan. Terutamanya di pipi. Masa tu saya memang tak pasti apa punca sebenarnya. Malah secara jujurnya, sampai sekarang pun saya masih belum dapat jawapannya. Cuma apa yang saya agak, ia mungkin disebabkan alahan.
Sebab memang ramai kawan-kawan yang menegur dan bertanya mengenainya. Saya cuma senyum jer jawab yang saya pun tak tahu apakah punca sebenarnya. Sebab saya pun pelik. Takde hujan, takde ribut, alih-alih benda ni terjadi. Sabo aje la.
Bila tengok cermin, memanglah risau. Kenapa tetiba saja benda ni berlaku. Setelah dua tiga hari berlalu, saya teringat kembali pada jasa baik si minyak gamat. Kebetulan, kat rumah masa tu stok minyak gamat memang tak pernah putus.
Sekali lagi, setiap malam saya sapukan minyak gamat ke seluruh muka. Tapi, untuk kesan kemerah-merahan di muka ni, ia agak memakan masa. Kira-kira 3 ke 4 minggu barulah kemerahan tu hilang sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur sebab berjaya juga menghilangkan kesan kemerah-merahan tersebut. Alhamdulillah.
Akhir sekali, untuk parut kecil yang masih baru. Nak dijadikan cerita, masa tengah mengemas rumah kemaslah sangatttt, saya mengalami luka di tangan. Tapi masa tu, darah pula keluar tak berhenti-henti.
Oleh sebab minyak gamat memang sentiasa menjadi peneman di rumah, khidmatnya sekali lagi ditagih. Saya bersihkan dulu luka tu dan terus sapu minyak gamat. Beberapa minit kemudian, pengaliran darah yang keluar menjadi perlahan dan seterusnya berhenti.
Beberapa jam lepas tu, baru saya perasaan kesan luka tadi meninggalkan kesan parut. Aduh... Tanpa berlengah, saya sapukan lagi minyak gamat ke bahagian yang berparut. Untuk hari-hari yang berikutnya, saya sapu lagi sebanyak 3 kali sehari. Sampailah kira-kira seminggu.
Sekali saya bersyukur. Parut tu dah sekata dengan warna kulit. Macam tak percaya pula kesan parut tu boleh hilang. Alhamdulillah.
Begitulah serba sikit perkongsian yang dapat saya coretkan buat anda. Mudah-mudahan adik-adik, tuan puan ataupun rakan-rakan yang buntu dengan
masalah jerawat, muka kemerah-merahan serta nak hilangkan parut kecil yang masih baru dapat menggunakan minyak gamat untuk mengatasi masalah yang menimpa kulit anda.
Saya doakan anda semua berjaya mengatasinya serta cantik luar dan dalam.